AKU SAHABATMU.


Alhamdulillah... Cerepen pertama (kedua sebenarnya) dinaikkan di Arkib Angker Negara. Pelbagai reaksi, malah komen boleh dilihat menggambarkan tahap kesedaran (tak signifikan pun sebab terlampau sedikit) tentang HIV dikalangan masyarakat Malaysia.

Disini, aku lampirkan cerpen buat tatapan semua. InsyaAllah akan cuba hasilkan lebih banyak lagi. Orang kata pena juga berkuasa, bisa merubah dunia. Permudahkanlah untukku Ya Allah.

AKU SAHABATMU (Karya Khas Tentang Kesedaran HIV)
Penulis: Anonymous
Blog: http://plhivconfidant.blogspot.com/
=======================

Di keheningan malam...
Termenung ku berseorang...
Tak lena mata dipejam...
Terdengar suara terngiang...
Suara merdu yang disayang..
Bagai kau di depan mata...

Iskandar masih berjaga, matanya sukar sungguh untuk dilelapkan malam ini. Mungkin kesan sampingan ubat yang diambil setiap hari. Terkadang mata itu mudah dijinakkan, tapi malam ini bagaikan disendal batang lidi kelopak mata itu. Fikiran Iskandar merewang-rewang mencari asbab untuk menidurkan matanya. Tips yang sahabat baiknya berikan dulu langsung tidak berkesan untuk malam ini.

'Kau ambil wudhuk baca doa tidur ni. InsyaAllah boleh. Tidur mengiring ke kanan. Jangan fikir atau skrol phone kau malam-malam ni' terbayang-bayang kiriman teks whatsapp Karmillia
'kau tu yang patut tidur, hari-hari tidur lewat juga' Balas Iskandar.
'aku tidur lewat pun tak terbabas.. Hahahaha'
Karmillia mengejek sahabatnya.. Menyuntik humor dalam perbualan mereka.

Iskandar masih merewang, mencari makna kehidupannya kini. Keputusan yang diterimanya 10 bulan lepas amat pahit untuk ditelan. Dunia ibarat gelap, kakinya longlai bagai tidak menjejak tanah. Pelbagai soalan, perasaan marah, sedih, kesal segalanya bercampur baur, tidak tahu mana yang perlu diluahkan dulu.

Air mata bertakung ditubir mata, tiba-tiba...

Tok.. Tok.. Tok..

Ketukan terdengar jelas ditingkap rumah kondominiumnya...

Tok.. Tok.. Tok..

Ah sudah!!! Iskandar bagai terlupa kesedihannya, panik pula menyerang. Kepalanya tertoleh-toleh ke tingkap bilik tidurnya. Tingkap luas dari siling ke lantai menghamparkan pemandangan kuala lumpur yang bergemerlapan bagai kan permata...

Tok.. Tok.. Tok..

Tapi dia tidak nampak apa-apa pun ditingkap biliknya. Iskandar bingkas bangun, bergerak meniti ke pintu hadapan. Peluh jantan menemaninya, penghawa dingin bagai tidak berfungsi. Jantung Iskandar berdebar. Ya, dia penakut.

Tok.. Tok.. Tok..

Iskandar mencapai tombol pintu dan memulasnya.

Pintu terbuka.

Namun tiada apa diluar. Lampu tindakbalas automatiknya bernyala tatkala dia melangkah keluar.

Aneh...

Iskandar melangkah kedalam, serentak hidungnya menangkap bau yang amat dikenalinya. Layar imbas kembali..

**********************

Iskandar tekun mengetuk papan kekunci komputer ribanya.
'kalau tak mahu bayar bulanan jangan langgan lain kali!' getus hatinya.
Menghadap kerenah pelanggan jalur lebar yang pelbagai adakala membuatnya mual dengan sifat-sifat manusia. Kadang - kadang membuat dia terfikir, otak itu untuk perhiasan saja kah??
Lembut haruman wangian body shop strawberry menyapa hidungnya. Karmillia, ahli baru pasukannya sudah tiba memulakan shif petang. Wajahnya sentiasa dihiasi litupan solekan dan senyuman menyapa ramah seluruh pasukan. Tapi, Iskandar tidak pernah ditegur. Dia tidak pernah kisah. Yang penting kerjanya siap dan pulang tepat masanya..

BAMMMMMMMM!!!

****************************
Pintu yang sedari tadi terbuka tertutup sendiri dek angin. Tersentak Iskandar segera beristighfar dan melangkah ke bilik air mengambil wudhuk. Usai tahajjud mengadu nasibnya pada Allah, dia merangkak ke katil. Sedang dia merebahkan kepalanya, terasa bucu kertas dikepala nya. Iskandar meraba dalam gelap dan mencapai lampu tidurnya. Sekeping kertas yellow note.

Terima kasih kerana sentiasa kuat menghadapi dugaan hidupmu, Kau membuatkan aku lebih berani menghadapi hidupku...

Iskandar bingung, dari mana pula datangnya nota ini.

Huaaarggghhhhh!! Iskandar meletakkan nota itu di meja sisinya dan dia kemudian hilang di alam mimpi.

Krrrrinnnggggggggggggg!!!!!!

Iskandar terpisat-pisat bangun melihat jam dinding sudah pukul 6.15 pagi. Sungguh, dia tidak punya kekuatan untuk bangun. Iskandar mahu tidur sahaja buat selamanya. Dia tidak mahu berdepan dengan sesiapa pun. Dia merasakan dirinya tidak berharga sesen pun. Tangannya meraba meja sisi, mahu menutup jam locengnya. Sebaliknya tangan Iskandar tercapai nota yang ditemui malam semalam. Membaca sekilas, dia bagaikan mendapat tiupan semangat.

Setelah mandi dan solat subuh, dia bersiap secepatnya untuk ketempat kerja di Kelana Jaya. Kalau jam menunjukkan pukul 7 pg dan dia masih lagi di rumah alamatnya dia akan terperangkap dalam kesesakan lebuhraya. Iskandar masuk kedalam kereta dan menghidupkan muzik. Pagi-pagi sebegini, Iskandar tidak punya mood. Azamnya hari ini menyelesaikan tugas dan pulang tepat pukul 5.30 ptg.

************************************************

Jam di dinding menunjukkan 7.30 malam. Iskandar baru sahaja sampai ke rumah. Rutin harian tersangkut di kesesakkan lalu lintas bagai sudah sebati dalam dirinya. Sesampai dirumah Iskandar terduduk keletihan. Sejak menerima rawatan selepas diagnosis penyakitnya, Iskandar sering kali keletihan. Rawatan yang mewajibkan dia untuk mengambil ubat pada masa yang tepat setiap hari buat selamanya. Bagi melawan virus jahat dalam tubuhnya. Keletihan yang dialaminya dek kesan sampingan ubat itu kadang-kadang menbuatkannya lelah dan hampir putus asa. Iskandar mengeluarkan iphone 11 pro kepunyaannya dan membuka aplikasi whatsapp. Sambil melihat perbualan, matanya tertancap pada perbualannya dengan karmillia. Sudah berbulan dia tidak berhubung dengan sahabat baiknya itu. Bukan membenci, jauh sekali kecil hati. Namun kini dia merasakan dirinya tidak layak mendampingi sesiapa pun. Hanya Karmillia sahaja yang mengetahui keadaannya, dan ketersediannya menerima Iskandar seadanya menambahkan lagi tebal mukanya untuk berhadapan dengan sahabat baiknya itu.

Kreeekkkkkkkkkkk!

Telinganya menangkap bunyi pintu bilik airnya dibuka kemudian ditutup. Serentak itu pili airnya dibuka. Iskandar bingkas bangun dari sofa, membuatkan iphonenya jatuh ke lantai.
Iskandar menunduk untuk mengutip telefon bimbitnya, sambil ekor matanya mengintai bawah pintu bilik airnya.

Pelik.

Iskandar tidak nampak bayang-bayang hidupan dalam bilik airnya itu. Habis, siapa didalam itu??
Iskandar membaca ayatul kursi. Tiada sesiapa dirumahnya selain dirinya.
Ah sudah!!! Iskandar panik. Sambil berjalan ke bilik airnya berjingkit jingkit, mulut iskandar terkumat kamit membaca ayatul kursi.

Pili air ditutup..

Bulu tengkuk Iskandar merinding. Iskandar terasa ingin lari sahaja, tapi entah kenapa tangannya mencapai tombol pintu bilik air nya. Memulasnya dan membuka pintu bilik airnya.
Tiada apa. Malah setitis air pun tiada. Kering.
Iskandar memalingkan wajahnya ke arah biliknya dan sekonyong-konyong tubuh seorang wanita berjubah putih terapung diluar tingkap luas biliknya. Rambutnya mengerbang, wajahnya licin. Licin pucat tanpa satu pun pancaindera di mukanya. Kosong.

Isssss....

Iskandar terasa dunianya gelap...

Gedebuk!!!

Iskandar terduduk dilantai. Astaghfirullah hal a'ziiimmmm, Aku terlelap rupanya. Getus hatinya. Sakit juga jatuh sofa ni, gumamnya.

Sedang dia cuba bangun, Iskandar terasa bagai mengengam sesuatu. Yellow note lagi.
Allah tidak akan memberikan dugaan kepadamu, melainkan kau dapat menempuhinya.
Allah!! Iskandar menepuk dahi, jam sudah menghampiri 8 malam dan dia masih belum solat maghrib lagi. Yellow note itu di sisipkan di bawah lampu tidurnya di meja sisi. Iskandar cepat-cepat mandi dan mengangkat wudhuk.

Dia membentangkan sejadah, dan mendirikan solat. Terasa dirinya begitu kerdil, begitu hina di mata Allah. Butiran Al-fatihah diselangi esak tangis memikirkan dosa yang menggunung, mengharapkan keampunan Yang Esa. Usai solat dan doa yang panjang, Iskandar berjalan ke meja makan. Nasi goreng ayam yang dibeli tadi hampir sejuk. Iskandar menghidupkan tv dan menonton siri netflix kegemarannya sambil makan malam. Leka menonton tv melarikan fokusnya dari kekhuatirannya akan masalah kesihatan yang dihadapi.

Kemana kau pergi ku masih mencarimu..
Kemana kau hilang, mmm eh mmmm eh mmmm..

Iphone nya mengalunkan lagu donde menandakan sudah pukul 10 malam. Sudah tiba masa untuk Iskandar makan ubat. Waktu yang paling sukar baginya diseluruh harinya. Waktu yang membuatkan dia sedar bahawa dia sakit. Waktu yang membuatkannya seakan kembali ke alam nyata. Iskandar mengambil tablet biru itu dan menelannya dengan air suam. Sebentar lagi dia akan berasa seperti diawangan. Salah satu kesan sampingan yang perlu dihadapinya. Sejak Iskandar memulakan terapi anti retroviral itu 10 bulan yang lalu, pelbagai kesan sampingan telah berjaya ditempuhi. Mimpi buruk, pening, keresahan, loya, keletihan, mood swing, ruam yang teruk dan adakalanya rasa seperti tidak seimbang. Karmillia sentiasa memberikan dorongan dan kata-kata semangat. Pada Karmillia, Iskandar katakan dirinya menghidapi depressi. Ya, Iskandar sedang depressi memikirkan keadaannya dan masa depannya. Iskandar berkongsi tarikh lawatan klinik dan kesan sampingan ubatnya pada Karmillia. Dia sering berkongsi harinya dengan Karmillia. Pada hematnya, Karmillia tidak akan tahu tentang penyakitnya.

Iskandar teringat pada yellow note yang disisipkan dibawah lampu meja, diambilnya dan dibaca sekali lagi sambil menghadap bandaraya Kuala Lumpur yang bergermelapan. Nota itu mengigatnya pada sahabat baiknya. Tebal mukanya ingin menghubungi sahabatnya itu. Dia kenal sangat sahabatnya itu. Punyai hati tisu dan dia tahu sahabatnya itu sering menangis mengenangkan keadaanya. Ya, dia mahu berseorangan sahaja, Iskandar rasakan dirinya tidak layak ditangisi apatah lagi punya sahabat baik yang prihatin tentang dirinya. Sebab itulah, dia menjauhkan diri dari semua. Kerana itulah juga dia menyuruh Karmillia agar tidak mengingatkannya lagi untuk makan ubat seperti biasa.

Bauan strawberi menyapa lembut hidungnya..

Isss... Isss..

Terdengar suara halus memanggil namanya. Iskandar kaget. Tak mungkin Karmillia. Wanita itu sudah tentu nyenyak dibuai mimpi dirumah. Apa lagi mereka sudah lama tidak berhubung. Sementelah Karmillia mendapat jawatan baharu di syarikat lain. Karmillia mengirimkan teks panjang di hari terakhirnya di Kelana Jaya, tetapi Iskandar tidak mengendahkannya. Iskandar tidak betah melayani perasaan sedih kerana fokusnya ketika itu hanya ingin mencapai tahap viral tidak terdeteksi. Atau undetectable.

Pranggggggggggg!!!

Bunyi seperti pinggan pecah didapur. Iskandar terus mencapai tongkat rotan yang disisipkan bawah katilnya. Sambil terjingkit-jingkit ke dapur. Sangkanya pencuri.

Perlahan-lahan Iskandar menghampiri dapur, tanpa menghidupkan suis lampu, dalam samar-samar Iskandar terlihat sesusuk tubuh berambut panjang sedang menghadap sinki dapur. Membelakanginya.
Terkejut, tongkat yang dibawanya jatuh. Iskandar terpaku. Nafasnya tersekat. Suaranya seakan tersangkut. Bagai terasa seluarnya hangat. Aduh!!!!

Sesusuk tubuh itu bagai melayang kebelakang. Sedikit demi sedikit menghampirinya. Bauan strawberi semakin menyengat hidungnya. Iskandar menjerit didalam hati.

Allahuakbar!! Allahuakbar!!

Tapi hanya didalam hati. Susuk itu semakin rapat dan terhenti tidak sampai dua tapak dari Iskandar. Hanya Allah sahaja yang tahu perasan Iskandar ketika susuk itu memusingkan kepalanya 180 darjah kebelakang. Wajah itu!

Gelap..............

Azan subuh berkumandang, Iskandar terjaga dari tidur. Dia mendapati dirinya di atas katil. Dan seluarnya basah. Iskandar menggaru kepalanya yang tidak gatal bingung dengan apa yang terjadi pada dirinya akhir-akhir ini. Iskandar bingkas bangun dan mandi. Usai solat subuh, dia membersihkan katilnya, ingin menukar cadar baharu. Aneh, katilnya tidak basah. Tongkat yang disisipkan bawah katil juga tiada. Ketika menukar sarung bantal, sehelai yellow note melayang keluar.

Walau sesukar mana pun, walau sesusah mana pun, aku akan tetap hadapi. Aku mahu kuat sabagaimana kuatnya dirimu. Kerana padaku kegembiraan sahabatku adalah keutamaanku. Dan aku yakin, Allah akan mempermudahkan untukku dan untukmu. Amiinnn.

Iskandar amat kenal ayat ini. Sejak tidak berhubung lagi, Karmillia sering menitipkan status whatsapp sebagai penyuntik motivasi buat Iskandar. Iskandar tidak pernah membalasnya. Dia berharap Karmillia akan berputus asa. Dan Iskandar yakin ianya berhasil kerana dia tidak pernah nampak lagi status whatsapp dari Karmillia sebulan dua ini. Mungkin dia sudah melupakannya. Mungkin juga Karmillia sibuk dengan jawatan barunya.

Bzzzz..bzzzzzz...
Iphonenya bergetar, whatsapp dari abangnya. Bertanya bila dia akan bertolak ke Kangar hari ini. Iskandar akan pulang ke kampung hari ini. Melepaskan lelah dikampung bersama ibu tercinta adalah perancangan yang baik dan itu membuatkannya lupa pada hal dunia. Sejurus menyiapkan beg, Iskandar terus memulakan perjalanannya usai berniat musafir.

Muzik menemaninya sepanjang perjalanan. Adakala ketika memandu Iskandar menangis mengenangkan masa depannya. Ya, segalanya telah berlaku, tidak mungkin dapat diulang kembali. Dia menerima dugaan Allah sebagai kifarah atas dosa-dosanya yang tidak terkira. Iskandar yakin dia dapat menempuhi dugaan ini berkat izin dariNya. Stigma masyarakat terhadap orang yang hidup dengan HIV kadang-kadang membuatnya terasa ingin hilang. Biarlah tanpa sesiapa yang tahu, sampai masa mati saja. Tetapi, Iskandar teringat pesanan sahabatnya dulu.

'takpe, bersabarlah. Anggap lah sakit ini sebagai penghapus dosa.' karmillia cuba memujuk sahabatnya.
'amin, aku pun harap benda yang sama. Banyak kot dosa aku. apa-apa pun keputusan ujian darah ni aku redha. Aku dah bersedia untuk yang paling buruk' balas Iskandar.
'manusia itu tak pernah lari dari buat dosa Iss. Yang penting kau ada kesedaran untuk perbetulkan semua. Itu yang Allah pandang. Usaha itu' Bait kata Karmillia cuba memadamkan gusar dihati Iskandar.

Apa agaknya khabar sahabatnya itu. Mungkin dia sudah putus asa kerana Iskandar sering mengendahkannya. Sejak dari hari Karmillia berterus terang dengannya bahawa dia tahu apa yang Iskandar hidapi, Iskandar seakan tidak dapat menghadap wajah sahabatnya itu. Sementelah lagi, Karmillia menyatakan kesediaan dia menerima dan menyokong Iskandar sebagai sahabat seadanya dirinya sekarang. Dia lupa bahawa sahabatnya itu graduan bioteknologi sudah semestinya Karmillia bisa meneka penyakitnya.

Stigma diri dalam diri Iskandar masih tebal ketika itu, adakalanya dia kalah dengan mood swing dan seringkali memarahi sahabatnya itu tanpa sebab. Namun, Karmillia tidak pernah jemu cuba memberikan semangat walaupun berkali-kali Iskandar mengendahkannya. Mereka menjadi persis orang asing.

Menjelang isya' Iskandar tiba di rumah ibunya. Ibunya baru usai solat isya' dipeluknya ibunya dari belakang. Sengaja memberikan kejutan buat ibu kesayangannya itu. Sebagai anak bongsu, Iskandar sememangnya rapat dengan ibunya. Oleh kerana itu, Iskandar tidak sanggup berkongsi keadaannya dengan ibunya. Iskandar tidak sanggup merobek hati insan yang paling dia sayangi.
'adik, ada kawan kau hantar parcel untuk kau. Achik tak tahu kenapa dia pos pada achik di tempat kerja. Nah, ambillah' abang Iskandar menghulurkan kotak sebesar kotak kasut padanya.
Iskandar terkial-kial menyambut kotak itu. Membawanya ke bilik tidurnya. Kepalanya ligat berfikir, kenapa pos pada abang aku.

Dari : Karmillia Khairuzzaman
Kepada : Muhamad Iskandar Hannan Rosli

Karmillia?
Assalamualaikum...

Kehadapan sahabatku yang amat ku kasihi Iss. Tika kau menerima warkah ini, aku mungkin tiada lagi di dunia ini. Warkah ini aku kirimkan buat bimbingan motivasi terakhir buat sahabatku.
Kau adalah satu manusia yang paling degil aku pernah jumpa Iss. Dalam tawa kau, kau menggembirakan aku sedangkan kau sendiri berperang dengan keadaan kau. Dari kau, aku terinspirasi untuk menjadikan dunia ini lebih baik untuk orang-orang seperti kau. Aku tahu stigma diri itu masih lagi tebal, aku faham. Segala apa yang terjadi sebelum ini adalah sejarah. Apa yang terbentang dihadapan kau kini adalah masa depan kau.

Dan aku yakin sepenuh hati bahawa kau kuat dan tabah mengejar segala impian yang kau inginkan selama ini. HIV tidak mendefinisikan diri kau sahabat. Keunikkan, kebijaksanaan dan kekuatan kau yang mencerminkan siapa diri kau. Aku takkan risau kerana kau takkan lupa ambil ubat kau, dan sudah tentu kau akan hidup berjaya. Kau kuat, dan kau tahu itu. Aku sungguh bangga punyai sahabat seperti kau.

Sungguh, aku bangga dan bersyukur dipertemukan Allah dengan kau. Kau adalah salah satu jiwa yang aku hargai sepanjang hidup aku.
Sahabat, didalam kotak ini ada sijil derma darah, resit waqaf buku dan sumbangan yang aku telah lakukan. Dan aku telah niatkan agar pahala setiap titisan darah dan sumbangan ini diberikan pada kau sebagai tanda terima kasih atas persahabatan yang tiada tara ini. Aku gembira dapat memberikan sesuatu buat kau dan aku ingin lihat kau gembira sahabat. Kau ada disaat jiwa aku hilang dan aku berharap kau teruskan mengejar impian kau. Kau tidak pernah berubah sahabat, kau masih Iskandar yang aku kenal dulu malah lebih baik lagi.

Bangun sahabatku, kejarlah impianmu. Semoga Allah sentiasa mempermudahkan segala urusanmu dan memakbulkan setiap doamu. Terima kasih kerana sentiasa kuat menghadapi dugaan hidupmu, Kau membuatkan aku lebih berani menghadapi hidupku.

Assalamualaikum.

Sahabatmu,
Karmillia


Titisan air mata Iskandar menghiasi surat itu. Sahabatnya itu tidak pernah lupa akannya. Iskandar membelek sijil derma darah yang penuh. Iskandar kehilangan kata-kata. Dia baru kehilangan sahabat baik. Dan selama ini Karmillia masih cuba menyampaikan bait-bait motivasi buat dirinya. Iskandar berazam meneruskan perjuangan Karmillia dalam menghakis stigma masyarakat terhadap orang yang hidup dengan HIV dengan kesedaran dan pendidikan. Iskandar mahu masyarakat sekelilingnya menerima golongan sepertinya sama seperti orang lain. Tidak kurang dan tidak lebih. Sungguh dalam dugaan yang Allah beri, ada nikmat yang tidak dapat Iskandar dustakan. Persahabatan lillahi ta'ala.

TAMAT

Comments

Popular posts from this blog

Why Crying Is Important for your mental health?

How i know Hawkeye is PLHIV?

December 2021!! Time to revamp the blog!